Subhanallah, sudah terlalu lama aku tak menulis.
Nukilan pagi Ahadku.
Pada hari biasa.
Cubaan menanam sayur. Pokok bunga dah ada beberapa.
Maaf kalian.
Kini dah masuk 5 bulan 2 minggu kandunganku. Ya, pada 9 Mac lepas aku dah selamat bernikah & berwalimatul urus dengan suamiku. Syukur Alhamdulillah.
Nukilan pagi Ahadku.
Sebulan lebih selepas itu, kami diberi berita gembira bakal menimang cahaya mata. Dengan umur kami berdua 32 tahun, kami memang tidak ada merancang untuk melewatkan dapat anak. Menyegerakan juga tidak sebenarnya tapi kami hanya berserah padaNya jika sudah sampai waktu.
Dan kalian pasti tahu dari post sebelum ini yang aku didiagnos dengan Major Depressive Disorder (MDD) sejak bulan Mei tahun lepas. Sememangnya pada awal ia menjadi tamparan berat buatku. Namun nikmat Allah itu sangat besar - dalam ketika ‘kejatuhan’ itulah aku diberi nikmat jodoh olehNya.
Sang bakal suami muncul saat aku jatuh, padahal dari dulu kufikir hanya bila hidupku sudah sempurna baru jodoh bakal muncul. Bukan itu rupanya perancangan Dia.
Menjadi wanita mengandung dan pada masa yang sama menghidap MDD mengajar aku banyak perkara. Syukur, sabar, tenang, redha dan ikhlas - itu antaranya. MDD ini bukanlah rasa sedih berpanjangan semata. Rasa kosong & hilang kenikmatan (enjoyment) pada perkara yang biasa menyeronokkan adalah salah satu tandanya. Tubuh & akal yang sentiasa penat juga biasa menjadi peneman rasa.
MDD ini tidak berupa. Ramai yang kita lihat selalu ceria namun bila bersendiri sangat terluka & memendam rasa. Kerana itu sering kita dikejutkan di dada-dada berita, orang-orang tak disangka mencedera jiwa, mengakhiri nyawa.
Pada hari biasa.
Aku bersyukur kerana MDD ku tidak membuat kurasa ‘suicidal’, namun kutahu ramai diluar sana yang tidak berdaya menahan godaannya. Mudah untuk yang tidak merasa - menjatuh hukum kepada insan-insan tersebut. Katanya tak kuat iman di dada, cuma mengada-adakan rasa. Percayalah bukan sekadar kekurangan iman & taqwa yang menjadi punca. MDD ini kerana adanya ketidakseimbangan kimia (serotonin) di otak kita.
Namun jangan juga disangkal bahawa menjaga solat & ibadat cukup membantu mengawal dan menyembuhnya. Minda harus dibuka, tutur kata perlu dijaga - kita tidak tahu siapa penghidap MDD di sekeliling kita.
Bagaimana cara bagiku mengawal MDD ku? Semenjak berbadan dua, doktor sudah memberhentikan pengambilan ubat anti kemurunganku (Escitalopram). Dengan ini, aku hanya bergantung kepada moral support dari orang sekelilingku untuk menangani rasa depresi. Alhamdulillah semenjak berkahwin suamiku cukup membantuku dalam menguatkan diri.
Dalam masa sama aku juga perlu menangani simptom-simptom awal kehamilan yang kadangkala bercampur dengan simptom MDDku. Disebabkan itu pihak klinik yang memantau kehamilanku menandakan kandunganku sebagai berisiko dan merujuk aku untuk turut mendapat penyeliaan pakar di Pusat Perubatan UKM. Oleh kerana kandunganku dirujuk pakar di PPUKM, maka hal-hal psikiatrik ku juga harus dibuat di sini.
Maka berlakulah perpindahan rawatan psikiatrik ku dari Hospital Ampang ke PPUKM. Jenuh juga kuberulang alik dari klinik ke Hospital Ampang, kemudian ke PPUKM. Tapi tak mengapalah, untuk kesihatanku juga.
Masuk hari ini sudah 2 kali aku follow up rawatan psikiatri di PPUKM. Alhamdulillah setakat ini aku tidak perlu lagi mengambil ubat Escitalopram, menandakan aku masih dapat mengawal MDD ku.
Biasanya tiga perkara yang membantu mengalih perasaanku dari pencetus-pencetus MDD yakni berkebun di halaman rumah, meluahkan kepada suami & mengingati anak dalam kandunganku. Setiap kali aku rasa overwhelmed, pasti aku akan mengalih perhatianku kepada salah satu perkara tersebut. Syukur, setiap kali ianya berjaya menenangkanku.
Cubaan menanam sayur. Pokok bunga dah ada beberapa.
Bagi setiap orang yang menghidap MDD, mereka mempunyai pencetus simptom dan pengalih perhatian berbeza yang memberi kesan kepada mereka. Jadi walaupun cara di atas berkesan untukku, belum tentu ianya boleh digunapakai oleh yang lainnya.
Kuncinya adalah mengenalpasti apa yang boleh mencetus rasa MDD masing-masing dan apa perkara yang boleh mengalih perhatian kita dari merasainya.
Aku tidak kata bahawa inilah penyelesaiannya, namun diharap bagi yang membaca dapatlah berkongsi sedikit cara mengawal penyakit ini. Mudahan bermanfaat, Amiin.
Akhir kata, semoga bertemu lagi di post lain. Aku doakan kalian mendapat walau sedikit manfaat dariku.
Jaga diri, Assalamualaikum.
Divert the thinking is a good tip. Thank you :)
ReplyDeleteNo problem Unid. Glad that it could help :)
ReplyDeleteCongrats eni dah pregnant. 💞
ReplyDeleteSmga dipermudahkan urusan taw. Smga yg baik2 shaja utk Eni
Wah cik Renex blogger otai dah comment lah. TQ Reen. Semoga yg terbaik juga utk Reen. Teruskan berkarya :)
ReplyDelete