Skip to main content

Bukit Kiara 2018

Ada apa dengan kehijauan yang membuatku sentiasa terpanggil menjenguknya? Sabtu, 20 Januari 2017. Bukit Kiara  Taman Tun Dr Ismail. Lokasi pilihan buat dakian.


Ada sesuatu tentang pokok-pokok, serangga yang mendiami kawasan yang kupergi - mengingatkanku tentang asal usul diri. Maha indah ciptaan Ilahi.

Redup hatiku, segar nafas yang masuk ke peparu. Ceritanya...

7.30 pagi

Dengan Bismillah, jam 7.00 keluarku dari rumah. Menuju ke rumah Fatin di SS2. Lapar tak sempat bersarapan, singgah di Petron roti dan air sempat di tangan.


8.00 pagi

Nadhrah tiba menjemput kami. Kereta ku parkir di rumah Fatin. Senang nanti pabila tengahari, untukku gerak ke destinasi lain.

8.30 pagi

Sampai ke parkir Taman Bukit Kiara, di hari Sabtu banyak kereta. Namun begitu syukur padaNya, parkir yang kosong masih lagi ada. 

Melalui jalan tar atau denai belantara. Terpulang selesa, ikut stamina. Untuk kami tiga serangkai -  separa tar, separa denai. 

4 kilometer jarak seluruh, cukuplah untuk kami berpeluh. 


Di selekoh ini kami memasuki laluan denai dari laluan bertar.


Mengikuti tepi tali air.


Agak curam juga tebingnya. Eloklah melatih otot peha.


Sempat berposing di tempat rata.


Sedikit video tatapan yang rela.


Terjebak juga.


Menembusi ke Zon Hidrologi.


Air mengalir dedaun kehijauan, terapi diri yang cukup berkesan. 

10.00 pagi

Sampai semula ke bawah. Total masa diambil kira-kira sejam setengah. 

Sebenarnya....

Banyak lagi denai yang lain, cuma kali ini hanya sempat menjeling. InshaaAllah inginku datang kembali, agar yang lain dapat diterokai. 

10.30 pagi

Kami memilih untuk bersarapan di Restoran Santai TTDI  Lebih kurang 10 minit sahaja dari Taman Bukit Kiara. Nasi lemaknya juga enak, beserta kopi panas cukup kena dengan tekak.

Entah macam mana tergerak pula kami nak ke Dotty's Pastries & Coffee  Niat asalnya cuma nak bungkus pulang sedikit pastries, penyudahnya duduk semeja makan di sana. 

Barangkali terbakar banyak kalori, boleh makan lebih alasan kami.

Yang topping kuning itu, Lava Queen. Dengarnya keistimewaan Dotty's. Pada citarasaku, sedap sekali.

1.00 tengahari

Benarlah dikata orang, bila dengan orang yang kita senang, masa diluang tak terasa panjang. Fatin dan Nadhrah, teman senang dan susah. Mudahan persahabatan kami terpelihara, sampai ke tua jika diizinNya.

Kami bersurai dengan pelukan, tangan dilambai senyuman diukirkan.

Sekian.

Assalamualaikum dan sejahtera sentiasa buat kalian.
Terima kasih juga atas perhatian yang diberikan.
Komen, soalan - jangan malu diajukan. :)

Comments

Popular posts from this blog

Cara Mendapatkan Bantuan Psikiatri

“Rasa macam nak gila!” “Mesti orang fikir aku dah tak siuman.” “Aku rasa macam dah tak guna hidup.” “Aku ni hidup menyusahkan orang je.” “Kenapa dada rasa sesak ni? Rasa macam nak mati je.” Pernah tak benda-benda ni terlintas di kepala? Jika pernah, JANGAN RISAU. Korang tak bersendirian. Jujur, aku sendiri pernah mengalami beberapa simptom di atas yang membuatkan aku nekad mencari pertolongan. Rakan-rakan sekalian, dalam dunia ni setiap manusia diuji dengan perkara-perkara berbeza. Kalau dulu bila seseorang cakap dia rasa macam nak hilang akal mesti cepat masyarakat cop dengan panggilan ‘GILA’. Scary kan? Memanglah scary, tapi ketahuilah bahawa sekarang ni di negara kita dah semakin banyak kesedaran dan kempen diadakan untuk ‘mengajar’ masyarakat untuk lebih tahu dan sensitif dengan isu MASALAH MENTAL. Ingat tu, masalah mental tak semestinnya gila. Pada aku yang gila ni orang yang nak tukar lorong atau masuk simpang tak bagi signal, orang yang suka potong barisan, orang yang kerja nak ...

Cantik Muka

Assalamualaikum. Cantik. Semua wanita ternaluri menginginkannya. Pelbagai jenis cantik dicipta olehNya di dunia. Kebelakangan ini hatiku terusik merungkai satu perkara. Jenis cantik muka yang semakin kulihat dipapar sini sana. Tatarias muka (make up), makin hari makin banyak langkah-langkahnya. Power of make up banyak menjadi mentera. It’s an art, itu justifikasi yang diguna merata. Diusia tiga puluhan, aku tidak lagi terganggu dengan pelbagai cereka. Yang kukhuatir anak-anak gadis yang baru mendunia. Apa di sekeliling mereka itulah gurunya. Apa aku punya dendam dengan make up? Tiada. Masih lagi hari ini bersesuai masa kutepek bedak & gincu juga. Jadi apa isunya? Yang buat terusik hati wanitaku adalah kerana aku wanita Melayu, Asia Tenggara kedua, Asia ketiga dan seterusnya. Wajah kita unik dan tersendiri. Asian beauty, masih lagi bererti. Atau masih betulkah itu realitinya kini? Gusar juga kulihat wajah-wajah yang diangkat - bermata biru berkening coklat. Kulit harus putih merah, ...

Yang Terbiasa

Kita punya keluarga, saudara, teman mahupun kenalan. Bila ada yang demikian, pasti ada interaksi dalam berhubungan. Pasti ada rasa kasih terhadap mereka, walaupun terkadang ditiup rasa tak elok dari hasutan dalaman. Namun bukan itu yang patut kita beratkan perhatian. Lihat pada setiap kebaikannya.  Kasih pasti berjangkit, bila datangnya dari ikhlas. Bakti berbalas atau tidak, bukan itu yang ingin dibekas. Cuma ingin diredhai oleh Yang Khas. Guildford, UK, Sept. 2016: Berkeliarku di taman. Terbaca seketika. Bangku derma sang suami kematian isteri didedikasikan atas rasa kasih dan ingatan. Kasih bagi setiap jenis hubungan ada cara ada syaratnya. Biar bijak mengguna. Yang lebih tua ada hormatnya. Yang muda ada haknya juga. Yang jauh ditanya walau sekali sekala. Saudara-mara rapat, namun tetap dijaga batasnya. Mahram dan bukan harus diingat, walau selesa bukanlah syarat, untuk senang membuka aurat. Bukan untuk kalian sahaja, diriku juga tak harus melupa.  Kadangkala terbiasa tanpa...