Jam di dinding menunjukkan 8.47pm. Aku sedang menunggu ketibaan suami di rumah. Baru tadi aku selesai memasak dinner. Alhamdulillah.
Cukuplah rasanya kari ikan bawal hitam, berteman sayur kobis & ikan masin untuk kami menjamu selera dengan nasi malam ini. Rezeki. Kalau di zaman bujang dulu cukup berat aku nak ke dapur. Mungkin inilah yang dikata lumrah bila dah berumahtangga. Memasak tak lagi terasa berat seperti dulu.
Dalam seminggu dua ini banyak aku bermuhasabah diri - tentang melepaskan perkara-perkara yang berlalu dan yang terjadi. Barangkali kesan terapi yang kujalani sepanjang merawat sakit depresiku telah mengajarku cara ‘melepaskan’ ini.
Dulu, hatiku sering terbeban dengan perkara-perkara ‘jika ini’, ‘jika itu’ sehinggakan aku tidak berada ‘in the moment’ dalam hidupku. Otakku sentiasa ligat memikirkan hari semalam apa yang jadi, esok lusa apa pula munculnya.
Ternyata hal-hal itu telah merampas nikmat diriku untuk berada in the moment. Lantaran aku juga tersangkut penyakit depresi disebabkan itu. Subhanallah betapa tak sangka penyakit ini boleh hinggap kepadaku. Namun itulah dia kuasa Yang Maha Esa, menguji hambaNya dengan perkara yang mampu dilalui.
Perutku semakin besar. Usia kandungan kini hampir mencecah 7 bulan. Alhamdulillah, morning sickness sudah hilang. Yang muncul pula sakit kaki dan belakang. ‘Biasalah tu,’ bak kata ibuku dan rakan-rakan yang pernah melalui. Ringkas saja ungkapannya tapi cukup untuk memberiku kekuatan melaluinya.
Kebelakangan ini aku sering menyedari bahawa aku lebih mudah melepaskan perkara-perkara yang boleh membuat aku stress. Kalau dulu sentiasa aku dihantui rasa kesal perkara lepas dan rasa risau perkara yang belum jelas - hari ini aku lebih lapang apabila menghadapi hari-hariku.
Seribu kesyukuran aku panjatkan kepada Yang Haq, kerana tanpa izinNya, tak mungkin aku merasa nikmat ini. Banyak tak terkira hikmah ditunjukkan Dia yakni apabila sesuatu perkara ditarik dariku, ternyata ada perkara lain yang lebih baik diberikan.
Sebagai hambaNya, aku perlu terus yakin dengan setiap apa yang dihantar olehNya. Bahawa setiap yang kutemui, yang terjadi pasti ada manfaatnya bagiku.
Penulisanku tidak terlalu berarah tuju malam ini. Namun itulah yang dapat kukongsi malam ini. Rindu nak menulis.
Kuharap kalian yang membaca dapatlah manfaat walau dari sebaris :).
Assalamualaikum.
Dah 7 bulan da ..x lama da kan nak tukar title jadi Ibu pulak..
ReplyDeletexsbr nk tgu eni junior. hee
Tulah kan. Rs bru je lg kn kita keje TM sm2 kan Reen. Nnt kawin jgn lupa jemput tauu
ReplyDelete